HASIL: Hasil rampasan pelbagai jenis barangan yang digunakan suspek untuk melakukan jenayah. |
- Melibatkan kes jenayah kekerasan dan harta benda setakat pertengahan April
SANDAKAN: Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Sandakan di sini telah berjaya menyelesaikan sebanyak 87 kes (52.41%) jenayah kekerasan dan jenayah harta benda bagi tempoh Januari hingga pertengahan April 2021.
Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP Mohd Azhar Hamin berkata, terbaharu pihak JSJ IPD Sandakan telah menjalankan siasatan dan berjaya menyelesaikan 21 kes jenayah bagi tempoh awal Mac hingga pertengahan April 2021.
Katanya, operasi yang dijalankan telah berjaya menumpaskan individu dan kumpulan yang terlibat dalam pelbagai kegiatan jenayah iaitu pecah kereta, pecah rumah, curi kenderaan di daerah Sandakan.
Menerusi kejayaan itu juga, beliau berkata pihaknya telah merampas 48 unit pelbagai barangan termasuk enam buah kereta curi, sebuah motosikal, lapan tong gas, tiga buah basikal dan 30 jenis peralatan pecah rumah dan curi kenderaan serta sebuah kenderaan yang digunakan untuk kegiatan jenayah.
Jelasnya, jumlah kerugian bagi 21 kes jenayah adalah dianggarkan bernilai RM260,000, manakala harta rampasan bernilai lebih kurang RM200,000.
"Kita juga berjaya menangkap seramai 27 suspek termasuk seorang perempuan yang disyaki terlibat melakukan jenayah. 15 suspek daripadanya adalah warga tempatan dan 12 suspek lagi warga asing. Mereka berumur dalam lingkungan 23 hingga 60 tahun.
"Hasil pemeriksaan juga mendapati 15 suspek adalah positif menggunakan dadah jenis Methamphetamine (syabu)," katanya dalam sidang media di Bilik Mesyuarat JSJ, Balai Polis Sandakan di sini.
Menurut Azhar, kejayaan yang dilakar itu adalah bagi membasmi jenayah secara proaktif khususnya untuk menjaga kepentingan masyarakat Sandakan. - Utusan Borneo Online
0 Ulasan